Iklankan di sini

Mengata dulang paku serpih?

Assalamualaikum.

        Baru-baru ini hangat diperkatakan tentang isu skrip dalam filem Hantu Bonceng yang menghina Rasulullah s.a.w. Rasanya ramai yang telah maklum tentang hal ini. Tidak perlu bercerita panjang.

http://www.myberita.com/2011/09/19/isu-hina-rasulullah-dalam-filem-hantu-bonceng-%E2%80%93-zizan-raja-lawak-minta-maaf/
http://www.myberita.com/2011/09/21/penjelasan-ustaz-azhar-idrus-tentang-zizan-hina-rasulullah/
http://www.myberita.com/2011/09/20/lembaga-penapisan-filem-teliti-semua-filem-hantu-bonceng/

        Isu ini mendapat perhatian, kutukan dan kritikan ramai. Di facebook, youtube, twitter, akhbar, blogs, websites dan sebagainya, kritikan sudah seperti hujan batu. Berdentum-dentum.Ya, diakui isu ini sensitif, salah, bahaya akidah dan jahil. Bukan isu ini sahaja, malah banyak lagi isu yang mengundang kemarahan orang ramai. Antaranya sekumpulan perempuan yang mempermainkan selawat, isu komen artis-artis tentang hukum hudud, dan banyak lagi.

        Tetapi satu perkara yang ingin disuluh di sini ialah tentang adab mengkritik. MasyaAllah, semasa membaca isu Zizan dan isu komen hudud oleh artis-artis Malaysia, terasa amat menyesakkan dada. Terkejut dan mengejutkan. Tetapi, lebih semput apabila terbaca komen-komen berbisa daripada pengkritik-pengritik daripada pelbagai bangsa dan agama. Amat memalukan dan mengecawakan apabila majoriti profilenya adalah nama-nama Muslim.

Berikut adalah contoh-contoh petikan kritikan yang diambil daripada pelbagai sumber;

{ jahil tahap cipan dan cipenzi sunggoh kata kata skrip ni.......harap cepat2 mampus pengarah, penulis skrip dan pelakon ini agar boleh faham maksud kata2 skrip ni dalam kubur bila Mungkar nakir soal (dlm tjemahan melayu) siapa lelaki ini yang diutuskan kepadamu?... marilah kita banyakkan baca dan amalkan 10 ayat pertama surah Al Kahfi dari sekarang ini....}

{gila la ko zizan}

{mmg sial lahh. xd mknany dorg d aniaya. klu ase d aniaya apsl g wt bodo bangang bahlul ! sakai lahh pmpuan ni. ak jmpa xyh ckp bnyk. jgn tny knpa klu tbe2 kne pijak kat lua. ! mat rempit pon xmcm korg la sialll !}




        Sangat tidak sanggup hendak quote lagi komen-komen lain. Rasa seperti mencemar blog ini. Terlalu banyak lagi komen-komen yang sangat kasar dan tidak berakhlak. Ya, memang perbuatan-perbuatan yang mempersendakan agama amat dibenci. Memang mereka ini patut diberi pelajaran. Mungkin pengkritik merasa berpuas hati apabila dapat marah dan hina semula sang pesalah. Tapi apakah kita sedar, komentar, kritikan dan reaksi kita itu mungkin lebih buruk nilainya daripada orang yang tersalah itu? Silap-silap bahasa dan kenyataan yang dikeluarkan oleh orang yang hendak menegur itu lebih buruk lagi daripada yang dikeluarkan oleh si pesalah.



        Nah, oleh itu apabila menegur haruslah dengan penuh hati-hati dan beradab supaya akhlak yang menegur tidak sama tahapnya atau lebih buruk daripada yang hendak ditegur. Apakah kita fikir dengan teguran yang penuh dengan panggilan yang tidak baik,bahasa yang kasar, dan ancaman-ancaman keras itu akan berkesan di hati mereka yang ingin ditegur?

        Orang yang bodoh harus diberi tahu, orang yang ragu-ragu harus diberi penjelasan, orang yang lalai perlu diingatkan, dan orang keras kepala yang mempertahankan kesalahannya harus diperingatkan. Manusia adalah makhluk yang lemah, bodoh, lalai, suka bertingkai, pelupa, dan cenderung mengikuti hawa nafsu. Sudah sunahnya manusia tak luput dari perbuatan salah dan dosa. Sebagai kaum muslimin yang bersaudara, kita dituntut untuk nasihat-menasihati dalam kebenaran dengan penuh kesabaran. Ketika melihat suatu kesalahan atau kemaksiatan dilakukan oleh seseorang, kita wajib menegur orang itu dan berusaha meluruskan kesalahannya. Sikap ini merupakan bagian dari nasihat yang menjadi inti agama. Setiap mukmin, apa pun pekerjaan, status, atau kedudukan sosialnya, harus berusaha menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran sesuai dengan kemampuan. (Syekh Muhammad Saleh al-Munajjid: 2010)

Tasawur dan Epistemologi
  
        Akhlak Rasulullah s.a.w. amat halus dan lembut dalam memberi kritikan. Kalau hendak dibandingkan dengan zaman sekarang, rasanya pada zaman Baginda s.a.w. dulu lebih banyak dan keras hinaan dan tohmahan yang dikenakan ke atas Islam. Tapi bagaimana reaksi Baginda s.a.w.? Kalau secara emosinya, seharusnya Baginda s.a.w. lah yang paling marah dan paling dulu menghentam mereka. Tetapi Islam bukan agama emosi semata-mata.

       Mengambil contoh sirah yang sering didengar, mengenai seorang Arab Badwi yang kencing di suatu sudut dalam masjid Baginda s.a.w. Betapa marah para sahabat ketika itu, tetapi Baginda s.a.w. menghalang mereka daripada memarahi Badwi itu sehingga dia selesai urusannya. Setelah itu, Rasulullah s.a.w. sendiri membersihkan sudut masjid tersebut, barulah Baginda s.a.w. bertemu dengan Arab Badwi itu dan memberitahunya tentang adab-adab di dalam masjid.


Rasulullah bersabda;

المسلم من سلم المسلمين من لسانه ويده

Muslim itu adalah seorang yang menyelamatkan (atau menyejahterakan) muslim yang lain dengan lisannya (percakapan) dan tangannya.



        Rasulullah s.a.w. jauh sekali menggunakan kata-kata kesat dan angkuh dalam teguran Baginda. Bersabda Rasulullah s.a.w.;

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki telah berkata kepada 
Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:
"Berwasiatlah kepadaku. Sabda Rasulullah s.a.w. "Jangan kamu marah". 
Maka lelaki itu mengulangi kata-katanya berulang kali. Sabda Rasulullah s.a.w., 
"Jangan kamu marah".

        Lebih  indah lagi apabila membaca sirah Baginda s.a.w. yang menceritakan kisah seorang pengemis tua dan buta yang sering mencaci Baginda s.a.w. Si pengemis tua dan buta ini setiap hari menggelar baginda dengan panggilan pembohong, gila dan ahli sihir. Dia malah menggesa setiap orang yang mendekatinya supaya menjauhi Muhammad s.a.w. Namun apa balasan Baginda s.a.w.? Setiap hari, tanpa memberitahu bahawa dirinya adalah Nabi Muhammad s.a.w., Baginda membawa makanan, menyuapkan si pengemis tua dan melayannya dengan baik. Baginda s.a.w. melakukan hal ini sehinggalah wafat. Suatu hari Saidina Abu Bakar r.a. menyambung perbuatan Rasulullah itu. Ketika Abu Bakar r.a. menyuapinya, si tua itu marah. Dia tahu sekali bahawa yang menyuapnya waktu itu bukanlah orang yang sebelum ini. Dia menyatakan bahawa yang selalu datang menyuapnya adalah seorang yang amat berlemah lembut kepadanya. Orang itu akan menghalusi makan tersebut sebelum menyuapnya. Dengan amat sedih Abu Bakar r.a. memberitahu bahawa benar, bukan dia orang yang selalu mendatangi si pengemis tersebut tetapi yang sebenarnya adalah Rasulullah s.a.w. Orang yang setiap hari dikeji oleh si tua yang buta ini. Maka akhirnya natijah dari dakwah halus Rasulullah s.a.w. tersebut, pengemis buta telah menyatakan syahadah di hadapan Abu Bakar r.a.

Adab-adab menegur

        Mengambil pengajaran daripada akhlak Nabi Muhammad s.a.w., terdapat beberapa adab sebelum menegur, antara yang terpenting ialah niat. Orang mukmin redha dan marah kerana Allah. Jadi menegur memerlukan seseorang yang berjiwa besar, ikhlas menegur untuk memperbaiki kesilapan dan kelemahan, atau untuk mengingatkan yang lupa. Bukanlah untuk menunjukkan siapa yang lebih hebat atau lebih mulia. Tidak sama sekali.

        Selain itu, menegur dengan hikmah dan nada lemah lembut menunjukkan betapa yang menegur tiada kepentingan lain dalam menegur atau mengkritik, melainkan untuk memperbetulkan yang silap dan menunjukkan yang benar. Tidak perlu menggunakan panggilan-panggilan buruk terhadap mereka atau kekerasan bahasa apatah lagi fizikal. Penggunaan panggilan-panggilan jelek dan kata-kata kesat amatlah tidak disukai dan tidak digalakkan sama sekali oleh Islam. Ini kerana yang dibenci ialah kesalahannya, bukan susuk yang membuat kesalahan itu.

"Kalaulah engkau bersikap kasar dan keras hati terhadap mereka, tentulah mereka akan dari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah kesalahan mereka" (Ali Imran: 159)





Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.
[AnNahlu:125]


        Kita selalu mendengar kata-kata Melayu, "Sabar aku ada hadnya!". Sebenarnya, sabar tiada hadnya. Kerana Allah s.w.t. berkata orang yang bersabar akan beroleh pahala yang besar. Oleh itu bersabarlah dalam menegur dan bersabarlah apabila ditegur.


Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. 
[Al Baqarah:155]


Syaitan ada ramuan hebat dalam memburukkan akhlak manusia. Kita lawan!
        Bagi yang menerima teguran pula hendaklah berusaha membuka hati. Menerima teguran ibarat ada orang yang memberitahu kita bahawa rumah kita sedang terbakar, atau ibarat ada ular yang akan mematuk kita. Jika itu situasinya, adakah kita akan menengking semula orang yang datang menyelamatkan kita dari ular berbisa atau kebakaran itu? Beginilah ibaratnya orang yang menerima teguran. Tentu sekali kita akan merasa terselamat, berterima kasih dan terhutang budi kerana yang menegur telah menyelamatkan kita dari musibah. 


Kesimpulan


        Konklusinya, jika ingin mengkritik atau menegur, lakukanlah dengan berakhlak. Agar yang menerima teguran akan menerima juga dengan berakhlak dan jiwa yang besar. Berpesan-pesanlah dengan kebenaran, kesabaran dan dengan kasih-sayang. Jangan kita menjadi lebih salah daripada orang yang bersalah. Ibarat mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Wallahua'lam.

Rujukan;
1. Syeikh Muhammad Saleh al-Munajjid (2010). Cara Cerdas Nabi Mengoreksi Kesalahan Orang Lain. Jakarta: Zaman.
2. Al Quran Al Karim
3. Himpunan Hadith 40


No comments